Thursday 17 July 2014

Bila muslimah jatuh hati.



Warkah buatmu,
Wahai Adam pembimbing yang diutuskan Allah untuk kaum Hawa.

Pencoretan ni khusus buat hamba Allah,
Yang aku cintai dalam diam.
Bukan sekadar coretan, tetapi luahan rasa,
Yang tak boleh diungkap dengan kata-kata.

Setiap mahkota hati wanita pasti akan disinggahi perasaan ini,
Namun, cuma ia berbeza dari kaca mata seorang wanita dengan seorang muslimah,
Tindakan, perilaku dan bicaranya berbeza.
Jika mata hati yang diguna, temuilah kau akan pebezaannya bila mana wanita jatuh hati,
Berbanding muslimah yang bergelar muslimah sejati sedang jatuh hati.
Warkah buatmu Adam,
Aku tidak tahu apa yang terbentang difikiranmu,
Aku tidak tahu apa yang berkisar di dadamu,
Namun janganlah kau pandang serong,
Dengan pencoretan ini,
Kerana aku tetap dengan pendirianku,
Bertemankan Allah SWT sebagai saksi,
Di mana aku percaya," Bila Allah dah tetapkan sesuatu untuk kita, Allah takkan bagi pada orang lain."
Pohonku kepada Ilahi semoga kau membacanya,
Walaupun engkau tidak pernah tahu kewujudan aku dan siapa aku,
Untuk mengetahui isi hati yang terlipat halus di benak naluri,
Di hati kecil seorang insan bernama muslimah.
Semoga diri ini menjadi mukminah sejati.

Wahai Adam, ketahuilah....
Aku telah pun membawa diri dengan langkah yang sejauh-jauhnya darimu,
Di saat kau membaca warkah ini,
Adalah amat mustahil untuk engkau menemukan semula,
Bahkan mungkin aku bakal lenyap dan lesap dari pandangan mata mu buat selamanya.
Kecuali setelah dengan izinNya,
Allah pertemukan kita secara kebetulan seperti mana yang selalu terjadi kepada kita.
Mungkin engkau tidak pernah tahu,
Tapi aku percaya pada pandangan pertama.
Sebagai seorang insan baru setelah lahir sebagai wanita muslimah.
Di saat kau membaca warkah ini,
Hati dan perasaan ini sekuat kuatnya menahan rasa dari jatuh sekali lagi kerana lelaki.
Kerana aku mampu mencintai seseorang dalam diam setelah apa yang pernah berlaku kepadaku sewaktu zaman jahiliyyahku,
Aku tidak berani lagi untuk buka hatiku pada sesiapa.

Namun ketahuilah....
Sekuat-kuat hati ini, aku cuba lupakan kisah laluku,
Biar meninggalkan bekas pada hati ku yang terkesan,
Allah SWT masih di sisiku,
Dengan hati kuat yang diberi pinjam olehNya,
Aku kuatkan azam dan semangatku,
Melukiskan cinta dalam diamku,
Berakhir warkah ini aku tulis untukmu.
Warkah khas buatmu.

Wahai Adam,
Ketahuilah bezanya perempuan dengan muslimah,
Ketahuilah bezanya permata yang disimpan di balang kaca itu,
Berbanding kaca yang bersepah di lantai,
Walaupun hakikatnya nampak sama,
Tetapi jauh sekali istilah dan fikrahnya berbeza.
Namun ketahuilah wahai makhluk pembimbing ciptaan Allah,
Tetap adaa bezanya antara cinta seorang wanita,
Yang sekadar bergelar perempuan,
Berbanding salju sakinah bernama muslimah.

Wahai Adam,
Ketahuilah bezanya cinta mengikut fitrah dengan cinta yang berhulu, berpandukan nafsu yang serakah,
Ketahuilah telah ku cuba sebagai muslimah memendam rasa,
Mengalirkan cinta dan hati ini mengikut aliran yang sepatutnya,
Namun hati kecil ini amat mudah tersentuh dan amat rapuh saat disentuh,
Sedangkan Saidatina Khadijah sendiri melamar Rasulullah SAW,
Tidak salah rasanya aku menyampaikan hasrat yang terpendam di sudut hati,
Yang aku tak mampu luahkan melalui kata-kata.
Namun kau jangan khuatir,
Pencoretan ini hanya luahan terakhir setelah aku cuba untuk melepaskan dan melupakan,
Perasaan yang aku tahu aku tak mampu untuk memilikinya.

Namun, harus kau tahu bila mana muslimah jatuh hati,
Dia tidak akan pernah sesekali membutirkan bicara,
Mengenai rasa yang dipendamkannya,
Malah, mahu kau tahu kenapa wahai Adam?
Kerana jauh di dasar qalbu,
Dia amat takut sekali hatinya jatuh buat kali keduanya,
Dia amat bimbang sekali imannya goyah tatkala cinta menguasai dirinya.

Maka, kerana itu dia mengambil keputusan,
Untuk membicarakan cinta hanya sekadar di jiwa,
Namun sesekali tidak dia akan lafazkan,
Sesekali tidak akan memaparkan padamu melalui tindakan,
Kerana dia tahu mahalnya sebuah hati yang Allah pinjamkan,
Untuk dijadikan sebuah mahligai syurga abadi dengan yang sebenar-benarnya.

Mana kau tahu Adam?
Bila mana muslimah jatuh hati?
Tatkala dia tahu hatinya sudah berpaut pada mu,
Tidak sesekali matanya berani menatap pandangan matamu,
Biarpun pada muslimin dia melakukan hal ini,
Kerana telah tersusun letaknya muslimah harus menjaga pekerti sebagai perhiasan dunia.

Namun padamu, dia lebih malu.
Namun padamu, dia lebih kaku.
Dia bimbang jika panahan syaitan menusuk dari mata ke mata,
Maka dia menundukkan pandangan matanya,
Pada mu sangat sukar untuk dia memulakan bicaranya,
Diam lebih bernilai daripada berkata perkara lagha,
Jika kau melangkah setapak mendekatinya,
Maka akan digerakkan seribu langkah berusaha gigih mahu menjauhi mu.

Paling dia ingin bukan hanya sekadar kawan,
Tanpa hubungan halal dan sah,
Dia ingin hubungan yang serius dengan redha Allah SWT.
Andai jika kau mahu menghampirinya,
Menjadikan dia suri di hati,
Bukan dirinya yang harus kau dekati,
Tetapi wali sebagai pengganti.

Wahai Adam, ketahuilah...
Untuk muslimah yang baru sahaja penghijrahannya melangkah kepada kebaikan,
Sangat sukar untuk mulimah jatuh hati sekali lagi.
Tetapi apabila sekali dia jatuh hati,
Dia hanya serahkan dirinya pada Ilahi,
Dan hanya memerhatikan dirimu dari jauh.

Sudah berkali-kali dia memohon pada Ilahi,
Supaya menunjukkan jalan yang diredhai dengan istikharah kepadaNya,
Kerana baginya, kau masih tetap dalam bayangannya,
Ibaratkan bagai enjin yang menggerakkan hati kecil ini untuk mencintai dirimu hanya keranaNya.

Wahai Adam, tahukah kau?
Tatkala kau memaparkan diri di mana-mana,
Dia cuba selalu elak dari berjumpa atau bertembung dengan mu.
Kerana dia takut, dia tersungkur semula saat dia sedang kuatkan hatinya,
Dari dia kehilangan perassan yang dia simpan di dalam hatinya dalam diam.

Jika benar kau turut menyimpan rasa yang sama,
Dia mohon pengharapan dalam setiap larut doa solatnya,
Semoga engkau akan memberikan jawapan yang tepat,
Agar dia tidak tertunggu jawapan yang tak pasti.
Jika benar kau sudah ditawan,
Dia pasti akan membulatkan nekad dirinya untuk mengundur diri.

Wahai Adam,
Mahukah engkau tahu mengapa dia tidak akan disisimu sebagai sahabat setelah dia menyerahkan padamu warkah ini?
Kerana dia merasakan dirinya tidak layak buatmu bila mana dia pandang dirinya yang lama.
Walaupun masih baru lagi dia dalam mengubah kehidupan dia menjadi dari perempuan sosial kepada wanita muslimah,
Masih lagi dia merasakan dirinya banyak kekurangan dan kecacatan yang perlu diperbaiki.

Wahai Adam,
Ketahuilah,
Perbezaan-perbezaan ini...

Di saat wanita jatuh hati,
Dia amat mendambakan dikau juga mempunyai perasaan yang sama,
Dia teringin sekali kau turut tergoda dan tertawan hati padanya jua,
Namun, jika muslimah jatuh hati,
Tidak pernah sesekali dia mengharap kau bakal mencintainya kembali,
Malah dia berusaha menjauhkan diri,
Kerana dia tidak mahu hatinya yang tidak pasti terus bermain di fikirannya.

Ketahuilah wahai tulang rusuk kiri,
Muslimah ini amat sukar jatuh hati,
Bila mana hatinya sudah mulai terpaut padamu ketika itu,
Dia tidak pernah menyatakan hasrat ini kepada sesiapa,
Dia hanya diamkan sahaja.
Melainkan hanya bergantung harap kepada Sang Pencipta,
Dia hanya menceritakan hasrat murni ini kepadaNya cuma,
Sehinggalah kau membaca isi surat ini dan mengetahui petanda,
Di hati ini dia telah lama memendam rasa.....






Bila mana muslimah jatuh hati, cintanya akan bermula secara diam dan berakhir juga secara diam...